Labels

Saturday, November 9, 2013

Aku, Sebungkus Biskut Dan Pengemis itu


Bau menyengat menyeruak manakala seorang perempuan naik ke dalam bas. 
Mereka mungkin ibu dan anak. Anak kecil itu mungkin berusia 2 tahun menurut 
pengamatanku. Aku menahan nafas. Busuk dan hancing. Beberapa penumpang 
lain turut terganggu dengan aroma yang datang. Mereka duduk benar-benar di 
sebelahku. Ingin saja aku mengeluarkan sapu tangan dan membekap hidungku. 
Tapi aku khuatir tindakanku akan menyakiti mereka. Bukankah semua manusia 
itu sama saja? Seolah-olah mereka juga sedar jika kehadiran mereka kurang 
menyenangkan para penumpang bas yang lain. Gerak geri mereka mencerminkan 
rasa kekok. Setelah berhasil menguasai diri, barulah mereka bersuara dan saling 
bercakap sesama sendiri. Si ibu berbicara tentang rancangannya untuk mencuba 
nasib di tempat kerja yang baru. Di sebuah pekan yang sentiasa sibuk. Tidak 
jauh dari tempat kerjaku. Mungkin untuk menjalankan kerja mereka sebagai – 
aku memerhatikan penampilan mereka, -pengemis.

Anak kecil itu memandang ke arahku. Bening. Sepasang mata yang bening itu 
mencerminkan kesucian dirinya. Begitu murni dan tak berdosa. Dia seharusnya 
berada di tempat yang lebih baik. Tidak sepatutnya dengan usia sekecil ini dia 
berada dalam gendongan ibunya dan belajar meminta belas daripada orang 
ramai. Hatiku tersentuh. Tanganku bergerak menyeluk saku beg galasku. Aku 
mengeluarkan sebungkus biskut. Aku menimbang-nimbang sesaat dalam hatiku. 
Sebenarnya, hanya biskut inilah sarapan untukku di pagi ini. Aku putuskan untuk 
menghulurkannya kepada anak kecil itu. Ibu kepada anak kecil itu terperangah. 
Mungkin tidak sangka dengan tindakanku. Lambat-lambat dia mendorong 
tangan kecil itu untuk menerima sebungkus biskut yang kuhulurkan.

"Ucap terima kasih, nak," begitu halus tutur yang dilanturkan oleh si ibu sambil 
tunduk memandang anak kecil dipangkuannya.

Bibir comel itu merekah dan tersenym. Walaupun dengan wajah yang agak kotor, 
dia kelihatan begitu manis sekali. Anak kecil itu menggenggam biskut pemberianku 
erat-erat. Sejurus kemudian, si ibu membuka bungkusan biskut dan memberikan 
kepada anak kecil itu. Dia makan dengan lahapnya. Jelas, anak kecil itu sangat 
lapar. Para penumpang bas yang lain melihatku dengan sedikit mencebik. Mungkin 
mereka marah kerana aku menyenangkan orang yang telah membuat mereka berasa 
tidak selesa. Sebenarnya, aku boleh saja tidak menghiraukan perempuan dan anak 
kecil itu. Mungkin saja anak kecil itu diculik dan dijadikan umpan untuk melancarkan 
pekerjaan pengemis tersebut. Dan aku adalah mangsa pertama mereka pagi ini. 
Terlalu banyak kemungkinan. Tetapi... lebih dari itu aku tidak mahu memikirkannya. 
Anak kecil itu bagaikan magnet buatku. Menarik perhatianku. Menarik rasa hiba 
di hatiku.

Di perhentian bas yang berikutnya, aku turun dan kami berpisah. Masih sempat 
kulihat mereka menatapku melalui tingkap bas. Perempuan pengemis itu memegang 
tangan anaknya dan melambaikannya ke arahku. Aku membalas, melambai kecil.

Mengapa anak kecil itu harus tumbuh dikalangan manusia yang sukar untuk 
memberikannya masa depan? Adakah dia juga akan menjadi pengemis seperti 
perempuan itu. Aku masih lagi memikirkan perihal perempuan pengemis dan 
anak kecil itu dalam perjalananku ke Restoran Makanan Laut. Tempatku bekerja. 
Sesampainya di sana, aku cuba membuang fikiranku tentang mereka. Masih 
banyak yang harus kufikirkan. Tentang perbelanjaan sekolah adik-adikku di 
kampung. Tentang sewa rumahku, bil air dan elektrik. Ya, tentang hutangku 
yang masih belum terlunaskan. Kepalaku sudah terasa mahu pecah.

Jam 5:00 petang, waktu kerjaku tamat. Aku menarik nafas lega. Hari ini sangat 
melelahkan kerana pengunjung begitu ramai. Mendung sudah bergayut berat di 
dada langit. Dalam bila-bila masa saja hujan akan turun. Aku berlari-lari anak 
membelah lalu lintas yang padat. Dalam situasi begini, semua orang ingin bergerak 
cepat tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Apalagi sekadar pejalan kaki 
sepertiku. Sampai saja di perhentian bas, hujan turun mencurah-curah. Bukan itu 
sahaja, angin yang tadinya bertiup kencang kini semakin menggila. Aku mendakap 
beg galasku erat-erat. Tubuhku sudah habis basah kerana air hujan yang 
berhamburan.Pohon-pohon bergocang dan kabel-kabel elektrik mengombak 
kencang. 

Tiba-tiba aku melihat ada yang datang menembus angin dan hujan. Semakin 
hampir, barulah aku mengecam mereka sebagai perempuan pengemis dan 
anak kecil bermata bening itu.

Akhirnya mereka sampai juga di perhentian bas yang sama. Mereka duduk 
di hujung bangku panjang ini. Sesaat kemudian si ibu kelihatan bingung mencari 
sebelah selipar anak kecil itu. Selipar yang bagi mereka mungkin sangat berharga. 
Selipar pelindung kaki anak kecil itu mungkin terjatuh saat mereka berlari ke sini 
tadi. Si ibu menurunkan anak kecil itu dan memujuknya untuk duduk diam di 
perhentian bas tersebut.

"Tunggu sebentar, nak. Jangan pergi ke mana-mana, ya."

Setelah yakin anak kecil itu bebas dari rasa takut, si ibu berlari ke arah yang 
mereka lewati tadi. Kembali membelah hujan dan angin. Mencari selipar anak 
kecil itu.

Kilat menyambar langit. Anak kecil itu menangis ketakutan. Jangankan anak 
kecil, orang dewasa juga akan merasa gerun dalam cuaca seperti ini. Saat itu, 
sebuah bas berhenti di tempatku berdiri. Semula lagi aku menimbang dalam 
hatiku sama ada mahu menaiki bas tersebut atau tidak. Dan sekali lagi hatiku 
memihak kepada anak kecil bermata bening itu. Aku melangkah perlahan ke 
arah anak kecil yang sedang menangis ketakutan itu. Beberapa langkah, ....

"Kraaak...! Bummm!!!"

Terdengar suara dentuman yang kuat dari arah belakangku. Refleks aku 
terpekik dan melompat. Sempat kurasakan hentakan di belakangku. Aku 
membalikkan badan dan pemandangan yang terdampar membuatku 
terperangah. Sebuah pohon besar yang ada di perhentian bas tersebut 
tumbang dan melesakkan sebahagian atap perhentian bas tersebut. Bas 
yang menghampiriku tadi baru beberapa meter jauhnya dari pohon yang 
tumbang itu. Lututku gementar.

Aku meraih anak kecil itu dalam pelukanku. Tuhan masih menyayangiku. 
Masih belum mahu mengambil nyawaku. Dia menghantarkan seorang 
anak kecil bermata bening ini sebagai perantaraan penyelamatku. Bayangkan 
saja kalau anak kecil itu tidak datang di perhentian bas tersebut. Bayangkan 
saja kalau tiada anak kecil itu tidak ditinggalkan diperhentian bas itu sendiri, 
pasti aku tidak akan berjalan ke arah anak kecil itu. Pasti aku sudah mati 
dihempap pokok yang tumbang itu.

Tuhan telah memberikan pertolongan kepadaku melalui perempuan pengemis 
dan anak kecil ini. Anak kecil bermata bening yang pagi tadi kuberikan sebungkus 
biskut untuk meredakan rasa laparnya.


p/s kisah ini yang masih tersimpan dalam file lama, untuk renungan bersama

No comments:

Post a Comment