Labels

Saturday, March 23, 2013

Budak Cina 7 thn pakai tudung ke sekolah



KASIH AYAH...Lee menyuap keropok kepada anaknya yang memasuki tahun satu di SK Kampung Tengah, semalam.

[HM] KUALA TERENGGANU: “Saya tertarik untuk memakai tudung apabila melihat rakan yang bertudung kelihatan cantik, sopan serta tidak perlu mendandan rambut yang pasti mengambil masa lama,” kata Lee Jing Hwa, 7, yang mencuri tumpuan apabila memakai tudung ketika mendaftar sebagai pelajar tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, Manir, di sini, semalam. 

Jing Hwa, satu-satunya pelajar berketurunan Cina di sekolah itu, hadir ke sekolah dengan berbaju kurung dan kelihatan tidak kekok memakai tudung seperti pelajar perempuan Islam.

Bapanya, Lee Chee Peng, 50, berkata, anak perempuannya itu mula memakai tudung sejak berusia lima tahun ketika belajar di Tadika Kemas berhampiran rumahnya di Taman Sri Manir. 

Menurutnya, walaupun ada tadika Cina dekat rumahnya, dia memilih menghantar anaknya itu ke Tadika Kemas bagi membolehkannya bergaul dengan kanak-kanak Melayu.

“Saya mahu dia mengalami persekitaran berbeza dan bercampur dengan rakan dari bangsa lain memandangkan negara kita berbilang kaum.

“Guru di tadika tidak memaksanya memakai tudung, malah membenarkan dia memakai gaun, tetapi dia lebih suka pakai baju kurung dan bertudung kerana baginya nampak lebih comel,” katanya yang tidak kisah dengan penampilan anak kelima daripada enam beradik itu. 

Menurutnya, semua anaknya belajar di sekolah kebangsaan supaya mereka menguasai bahasa kebangsaan menerusi pergaulan dengan rakan Melayu.

“Bagi mempelajari bahasa Cina, saya menghantar mereka ke kelas tambahan. 

“Sebelum ini, ramai rakan termasuk keluarga mempertikaikan keputusan saya menghantar anak ke sekolah kebangsaan, tetapi akhirnya mereka faham dan kagum kerana semua anak saya termasuk Jing Hwa dapat bercakap bahasa Melayu dan Cina dengan baik,” katanya.


P/s: Saya kata contohilah lelaki Cina yang juga bapa kepada murid perempuan comel ini bukanlah meminta agar rakan-rakan bukan Melayu memakaikan anak mereka tudung, tetapi mengikut jejaknya menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan dan berusaha memastikan anak-anaknya dapat bergaul dengan rakan-rakan daripada bangsa lain.

Menurut lelaki ini, tindakannya menghantar anaknya kle sekolah kebangsaan dibantah oleh rakan dan ahli keluarga. Mengapa hal ini berlaku? Walhal rakyat Malaysia sepatutnya mengutamakan sekolah kebangsaan yang menggunakan medium bahasa kebangsaan dan menempatkan murid daripada pelbagai latar masyarakat. Untuk memastikan murid bukan Melayu menguasai bahasa ibunda masing-masing, subjek Mandarin dan Tamil diwujudkan di sekolah kebangsaan. Langkah ini turut memberikan peluang kepada murid Melayu mempelajari bahasa tersebut.

Tindakan masyarakat bukan Melayu meminggirkan sekolah kebangsaan menyebabkan masalah ketidakfasihan berbahasa kebangsaan dalam kalangan mereka tidak dapat ditangani sejak negara ini mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu. Bukan setakat itu, pengasingan murid berdasarkan jenis sekolah juga menyukarkan kita untuk mewujudkan masyarakat yang benar-benar bersatu.

No comments:

Post a Comment